Kesan menghayati Solat.

by Mohd Fadli Yusof on Thursday, July 15, 2010 at 8:50am

Solat yang didirikan dan dihayati sungguh-sungguh akan memberikan kesan pada tindakan lahir sama ada dalam berfikir, dalam masa bekerja, dalam tindakan dan sebagainya. Lantas tidak timbul masalah orang berkata, “Dia tu solat tak tinggal, tapi malas.” Sebab, jika seseorang itu menghayati solatnya, dia semestinya menjadi seorang yang rajin. Bahkan nampak kesan yang positif hasil daripada menghayati solat tersebut, antaranya:

1. Mudah meninggalkan maksiat

Bagi orang yang benar-benar menghayati solat, Allah akan beri kekuatan dan mudah baginya meninggalkan maksiat. Tepat sepertimana firman Allah:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ

“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada pekerjaan keji dan mungkar.” (Al Ankabut:29:45)

Oleh itu, jika solat tidak boleh memberikan kekuatan untuk meninggalkan maksiat, periksalah kembali solat kita.

2. Dapat merasakan rasa kehambaan di dalam dan di luar waktu solat

Rasa kehambaan yang dimaksudkan ialah rasa malu, rasa takut, rasa cinta, rasa lemah, penyerahan diri yang sepenuhnya kepada Tuhan, rasa selalu diperhatikan dan sebagainya. Apabila seseorang menghayati solatnya, sama ada ketika solat atau pun di luar solat, dia akan sentiasa dapat merasakan rasa kehambaan tersebut.

Walaupun berada di luar solat, dia sentiasa ingat kepada Allah. Setiap masa dan tanpa mengira tempat, dia merasa diperhatikan oleh Allah.

Sebab itu dia terlalu takut untuk mengingkari perintah Allah. Dia terasa bila-bila masa Allah boleh menghukumnya kerana Allah berkuasa penuh ke atas dirinya. Sebaliknya, bagi mereka yang tidak menghayati solat tidak akan mendapat rasa kehambaan tersebut, dia selalu merasa tidak tenang. Bila menghadapi masalah dia gelisah dan bila dapat nikmat, dia melonjak-lonjak sehingga lupa untuk bersyukur kepada Pemberi Nikmat. Bila berhadapan dengan orang yang buat fitnah pula, dia rasa terseksa.

Sedangkan orang yang ada sifat kehambaan itu tidak tersentuh dengan kesusahan yang menimpa kerana merasakan dirinya hamba, yang layak mendapat kesusahan. Dia tidak sombong dan tidak angkuh, sebaliknya merasakan kesusahan sebagai rahmat Allah yang bertujuan untuk menghapuskan dosa-dosanya. Lebih-lebih lagilah ketika bersolat. Sewaktu di dalam solatlah kemuncak baginya mengingati Allah. Saat itu dia terasa lazat untuk berdepan dengan Allah. Waktu itu dia lebih merasakan diperhatikan oleh Allah.

3.Dapat menghayati rasa berTuhan

Dia sentiasa dapat melihat Maha Hebatnya Allah, Maha Tinggi, Maha Besar, Maha kaya dan seumpamanya. Dia memahami maksud Allah kurniakan sesuatu padanya. Contohnya bila dikurniakan wang lebih daripada orang lain, dia faham kenapa Allah berikan kepadanya. Kekayaan itu untuk diagih-agihkan kepada orang lain. Bila Allah berikan kesihatan yang baik sedangkan orang lain selalu sakit, dia faham maksud Allah agar dia sentiasa dapat menabur khidmat bakti pada masyarakat.

Ada kalanya Allah membantu hamba-hambanya secara ‘direct’ tetapi kerap pula melalui makhluk-makhluknya yang lain. Maka bila dikurniakan kelebihan, kita sepatutnya faham bahawa kita adalah saluran untuk membantu orang lain yang kurang.

4. Menjadi orang yang berakhlak (bersifat mahmudah)

Kejayaan seseorang menghayati solat juga akan dapat dilihat dari akhlaknya yang baik, sama ada akhlak terhadap manusia mahupun akhlak terhadap Tuhan. Akhlak yang baik itu sudah mendarah daging dalam dirinya.

Contoh akhlak terhadap manusia antaranya bersifat tolak ansur, suka menolong, pemurah, tawadhuk (merendah diri), pemaaf dan suka meminta maaf, penyayang, rajin, jujur, ramah mesra dan mudah bekerjasama.

Sementara akhlak terhadap Tuhan pula ialah merasa diri hamba, rasa serba kekurangan, rasa berharap kepada Allah, sabar dengan ujian kesusahan, baik sangka dengan Allah dan lain-lain. Jadi hasil dari solat yang khusyuk itu akan membuahkan akhlak yang terpuji.

5. Membakar mazmumah (sifat keji)

Selain dapat mencegah kemungkaran, solat yang dihayati juga dapat mengikis sifat mazmumah. Antaranya sifat sombong, dengki, dendam, bakhil, khianat, pemalas, pengotor dan sebagainya. Ini adalah kerana setiap kali mengerjakan solat, kita terasa diri hina di depan Tuhan.

Begitulah jika solat dapat dipertingkatkan, sifat-sifat yang keji akan dapat dikikis dari masa ke semasa.

Tetapi sebaliknya, perlu diingat ada segolongan manusia yang semakin dia solat, semakin jauh pula dia dengan Allah. Mereka ini termasuk dalam golongan hamba-hamba yang derhaka dalam taat. Mereka sebenarnya membina rasa ketuanan dalam solat. Bila rajin melakukan solat, mereka rasa diri mereka sudah baik dan selamat serta tidak takut dengan murka Allah. Semakin banyak bersolat semakin jauh dari Allah.

Hasilnya, sifat kejinya tidak cair dengan solat bahkan makin kental. Pada lahirnya dia kelihatan hebat. Pagi-pagi lagi sudah bangun menghadap Allah, tapi hakikatnya dia membina rasa ketuhanan dalam dirinya. Tandanya, bila ditegur mudah melenting, memandang rendah kepada yang kurang beramal dan suka menyebut-nyebut kebaikan yang dibuat. Sebab itu amat merbahaya jika kita beramal ibadah hanya kerana merebut fadhilat. Ia tidak akan membuahkan sifat kehambaan. Bahkan menjadikan kita semakin riyak dengan amalan.

Begitulah antara beberapa kesan yang baik hasil solat yang dilakukan bersungguh-sungguh. Bukan sahaja faham bacaan dalam solat bahkan dapat menghayati setiap apa yang dibaca. Moga-moga kita dapat memperkemaskan ibadah solat kita dari masa ke semasa.

محمد فضلي بن يوسف

15 Julai 2010

Silakan tag@share

(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=446494016718)

Lawat Halaman Penaja:

Bestari Shop – Produk Pemakanan Sunnah – NR Bashirah

Berumrah bersama kami – Bimbingan dan tarbiyah sepanjang jalan. Rabbani Travel & Tours Sdn Bhd, hubungi saya 012-4962812, Mohd Fadli Yusof.

Advertisements